30 Ogos 2012 - 14:46

Situasi dunia dan kepekaan global sedang menjalani kitaran sejarah yang penting... Kami berpendapat bilik kawalan dunia tidak sepatutnya diuruskan oleh kehendak diktator beberapa negara Barat. Majlis Keselamatan PBB mempunyai struktur dan mekanisme yang tidak logik, tidak adil dan tidak demokratik sedikit pun. Ini adalah diktator yang jelas, isu lapuk, ketinggalan dan sudah luput tarikhnya... Republik Islam Iran menganggap penggunaan senjata nuklear, kimia dan yang serupa dengannya sebagai dosa besar dan tidak diampunkan.... "Timur Tengah bebas daripada senjata nuklear" dan kami komited padanya. Ini tidak bermakna mengorbankan hak kami untuk penggunaan tenaga nuklear secara aman dan pengeluaran bahan bakar nuklear... Pendirian kami adalah Palestin itu milik rakyat Palestin,

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Persidangan ke-16 Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pagi kelmarin dihadiri oleh pemimpin revolusi Islam, Ayatullah Sayid Ali Khamenei. Beliau memberikan ucapan pentingnya mengenai tranformasi dunia yang berusaha melepaskan diri dari cengkaman kuasa dominan dunia yang bertindak sewenang-wenangnya ke atas negara-negara kecil, jejak langkah berhelah musuh kemanusiaan tersebut, isu Palestin, nuklear dan lain-lain lagi.

Terjemahan ucapan beliau adalah seperti berikut:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian Alam, Selawat dan Salam ke atas Rasul yang agung dan al-amin, para sahabat terpilih, dan kepada seluruh para nabi dan rasul.

Saya ucapkan selamat datang kepada semua tetamu yang dimuliakan, para pemimpin, jawatankuasa perwakilan negara-negara pergerakan NAM ke persidangan antarabangsa ini.

Kita berhimpun di sini untuk meneruskan pergerakan bersama hidayah dan bantuan daripada Allah, kita meneruskan pergerakan dan perjalanan dalam 6 dekad lalu yang telah diasaskan dengan segala kebijaksanaan dan keberanian beberapa orang daripada pemimpin politik yang berhati lembut dan bertanggung jawab dalam mengikuti perkembangan semasa dan keperluan dunia hari ini.

Tetamu kita yang berhimpun di sini datang dari berbagai belahan bumi, jauh dan dekat, dari berbagai bangsa, ideologi, budaya dan karakteristik budaya. Namun sebagaimana Ahmad Soekarno, salah seorang pengasas pergerakan ini dalam persidangan yang terkenal di Bandung pada tahun 1955 telah berkata, dasar pembentukan NAM, bukan kerana perpaduan geografi, bangsa atau agama, namun perpaduan keperluan. Pada hari itu negara-negara anggota NAM memerlukan ikatan supaya dapat melindungi mereka dalam menghadapi cengkaman dominasi jaringan autokratik dan kuasa angkuh yang tidak pernah puas. Hari ini dengan kemajuan dan berkembangnya alat rasmi kerajaan, keperluan ini tetap masih relevan.

Saya ingin menerangkan realiti yang lain:

Meskipun berbeza bangsa, bahasa dan budaya, Islam mengajar kami bahawa manusia masih berkongsi fitrah yang sama, di mana mereka sama-sama diseru ke arah kebersihan, keadilan, kebajikan, kasih sayang dan kerjasama. Inilah persamaan semulajadi manusia yang mana jikalau dapat melepasi motif-motif yang menyesatkan dengan selamat, insan akan mendapat hidayat ke arah tauhid dan makrifat Zat Allah ta'ala.

Realiti yang berkilau ini mempunyai keupayaan yang berkemampuan membentuk masyarakat yang bebas merdeka dan membanggakan, dalam masa yang sama menikmati kemajuan dan keadilan. Cahaya spiritual dapat memberikan kesan kepada seluruh material dan keduniaan manusia, dan syurga dunia telah disediakan untuk mereka (sebelum syurga akhirat yang dijanjikan dalam agama Ilahi). Persamaan umum dapat memberikan sarana kerjasama secara bersaudara kepada seluruh bangsa yang mana tidak ada keraguan menurut bentuk zahiriah, rekod sejarah dan rantau geografi.

Setiap kali kerjasama global yang diasaskan seperti ini, kerajaan-kerajaan akan membangunkan hubungan dengan yang lain bukan atas dasar ketakutan dan ancaman, atau haloba dan kepentingan sebelah pihak, atau dengan perantara individu pengkhianat dan yang dapat disogok, namun hubungan berasaskan manfaat dan kepentingan bersama, dan yang lebih utama ialah kepentingan kemanusiaan. Naluri kebangkitan diri dan kepentingan rakyat sendiri dapat membina keperihatinan yang tenteram.

Pemerintahan ideal ini bertentangan dengan sistem dominasi yang mana sejak kurun akhir-akhir ini, kuasa domonasi Barat (dan hari ini kerajaan pembuli dan penceroboh Amerika) yang membuat dakwaan, melakukan propaganda dan mendahulukannya.

Tetamu yang dihormati sekalian!

Hari ini idea asal pergerakan NAM masih hidup dan mantap meskipun telah berlalu selama enam dekad. Nilai-nilainya adalah seperti: anti-kolonialisme, kebebasan berpolitik, berdagang dan berbudaya tanpa terikat dengan mana-mana blok kuasa, memperbaiki kesetiakawanan dan kerjasama antara negara-negara anggota. Realiti dunia hari ini memandang remeh terhadap nilai-nilai tersebut. Namun kehendak masyarakat dan usaha seluruh pihak untuk menyeberangi realiti-realiti, mendapatkan idea-idea tetap dijanjikan dan mendapat ganjaran setimpalnya walau pun penuh dengan cabaran.

Dalam masa terdekat ini kita menyaksikan kekalahan dasar perang dingin dan perang sebelah pihak. Dunia mampu dan perlu memainkan peranan moden dengan mengambil teladan dari pengalaman bersejarah ini, dunia sedang berada dalam peralihan ke arah sistem global yang baru dan NAM. Sistem ini hendaklah mendirikan kerjasama dan kesaksamaan rakyat dengan teguh. Kesetiakawanan kita, negara-negara angota pergerakan ini untuk membentuk struktur sistem moden merupakan sebuah kemestian yang jelas pada hari ini.

Nasib baik harapan kemajuan global menjanjikan sistem berbagai dimensi di mana kuasa blok tradisional memberikan tempatnya sendiri dalam sekumpulan negara-negara, kebudayaan-kebudayaan dan berbagai tamadun dari perbezaan punca ekonomi, sosial dan politik. Kita menyaksikan peristiwa-peristiwa dramatik tiga dekad ini yang menunjukkan kedatangan kuasa baru diiringi dengan kelemahan dalam kuasa-kuasa tradisional. Perubahan kuasa secara beransur-ansur ini memberikan peluang kepada negara-negara berkecuali supaya dapat mengambil tanggung jawab peranan dan latar yang berkesan dan bernilai di pentas dunia, menyediakan struktur pentadbiran global yang adil dan kerjasama yang jitu.

Selain mempunyai berbagai perspektif dan orientasi, kita selaku negara anggota pergerakan ini telah mengaturkan ikatan kerjasama dan kesetiakawanan dalam tempoh yang panjang dalam rangka perkongsian nilai-nilai, ini bukanlah suatu pencapaian yang mudah dan kecil. Ikatan ini dapat menyediakan satu struktur peralihan demi keadilan dan perikemanusiaan.

Situasi global terkini menyedia peluang kepada Pergerakan Negara-negara Berkecuali, mungkin peluang ini tidak akan timbul lagi. Kami berpendapat bilik kawalan dunia tidak sepatutnya diuruskan oleh kehendak diktator beberapa negara Barat. Hendaklah diusahakan sebuah penyertaan demokratik di peringkat dunia dalam pentas mentadbir hal ehwal global. Ini adalah keperluan semua negara-negara yang dipermain-mainkan oleh beberapa negara pembuli dan gila kuasa samada secara langsung atau tidak langsung.

Majlis Keselamatan PBB mempunyai struktur dan mekanisme yang tidak logik, tidak adil dan tidak demokratik sedikit pun. Ini adalah diktator yang jelas, isu lapuk, ketinggalan dan sudah luput tarikhnya. Penyalahgunaan mekanisme ini secara tidak wajar menyebabkan Amerika dan rakan sejenayahnya dapat menyembunyikan pembulian mereka sebagai konsep mulia sambil menguatkuasakannya pada dunia. Mereka menjaga kepentingan Barat dengan nama "hak asasi manusia". Mereka masuk campur urusan negara lain dengan ketenteraan atas nama demokrasi. Mereka mensasarkan bom dan senjata terhadap orang kampung dan bandar atas nama memerangi keganasan. Dalam pandangan mereka, kemanusiaan terbahagi kasta pertama, kedua dan ketiga. Kehidupan manusia di Asia, Afrika dan Amerika Latin dianggap murah, manakala kehidupan di Amerika dan Eropah Barat dianggap mahal. Keselamatan Amerika dan Eropah dianggap penting, sedangkan keselamatan seluruh umat manusia dianggap tidak penting. Penyeksaan dan pembunuhan diizinkan dan benar-benar tidak diambil berat oleh Amerika, Zionis dan boneka mereka. Penjara-penjara rahsia mereka berbagai kawasan di seluruh dunia menyaksikan penghinaan dan layanan paling buruk terhadap tahanan yang tidak dapat mempertahankan diri, tidak dibela dan tidak juga diadili. Suara hati mereka juga tidak bebas. Baik dan buruk diperkenalkan dengan cara pilih kasih, kepentingan mereka sendiri dibebankan ke atas orang awam atas nama undang-undang antarabangsa. Mereka mengenakan dominasi dan tuntutan yang tidak sah atas nama masyarakat antarabangsa. Mereka menggunakan rangkaian media eksklusif dan terancang untuk mempromosi pembohongan sebagai kebenaran. Kebatilan dipaparkan sebagai kebenaran, kezaliman ditonjolkan sebagai tuntutan keadilan. Sebaliknya, setiap pernyataan benar yang mendedahkan kenakalan mereka labilkan sebagai pembohongan, dan menggelar setiap tuntutan sah sebagai pemberontakan.

Rakan-rakan sekalian, kecacatan dan situasi bahaya ini tidak boleh terus berlangsung. Setiap orang sudah bosan dengan kerosakan struktur antarabangsa ini. 99 peratus gerakan rakyat Amerika menentang pemusatan kekayaan dan kuasa di Amerika, protes penduduk Barat - Eropah menentang dasar ekonomi kerajaan mereka yang berleluasa menunjukkan rakyat mereka sudah hilang sabar dengan situasi ini. Adalah satu keperluan untuk merawat keadaan yang tidak waras ini. Meneguhkan ikatan rasional dan komprehensif antara negara-negara anggota pergerakan NAM dapat memainkan peranan penting dalam mencari penawar.

Hadirin yang dihormati sekalian, keamanan dan keselamatan global adalah isu yang kritikal pada dunia hari ini. Penghapusan senjata pemusnah besar-besaran adalah suatu keperluan mendesak dan permintaan sejagat. Dalam dunia hari ini, keselamatan adalah keperluan bersama yang tidak ada ruang lagi untuk berdiskriminasi. Mereka yang menimbunkan senjata anti manusia dalam gudang mereka tidak berhak untuk mengistiharkan diri mereka sendiri sebagai pembawa standard piawaikeselamatan global. Tidak syak lagi, ini tidak akan membawa kepada keselamatan bagi diri mereka sendiri. Malang sekali negara yang memiliki gudang senjata nuklear terbesar tidak mempunyai niat serius untuk menghapuskan senjata-senjata pembunuh dari doktrin ketenteraan, dan mereka masih menganggap senjata-senjata seperti alat untuk mengusir ancaman, juga sebagai standard yang penting untuk menentukan politik dan kedudukan mereka di arena antarabangsa. Konsep ini perlu ditolak dan dikutuk semuanya.

Senjata nuklear tidak menjamin keselamatan, dan tidak dapat juga mengukuhkan kuasa politik, sebaliknya mereka adalah suatu ancaman kepada kedua-dua keselamatan dan kuasa politik. Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 1990-an menunjukkan bahawa pemilikan senjata itu tidak dapat melindungi regim seperti bekas Kesatuan Soviet. Hari ini kita juga melihat negara-negara tertentu terdedah kepada gelombang tidak selamat yang membunuh walaupun memiliki bom atom.

Republik Islam Iran menganggap penggunaan senjata nuklear, kimia dan yang serupa dengannya sebagai dosa besar dan tidak diampunkan. Kami ajukan tiga cadangan "Timur Tengah bebas daripada senjata nuklear" dan kami komited padanya. Ini tidak bermakna mengorbankan hak kami untuk penggunaan tenaga nuklear secara aman dan pengeluaran bahan bakar nuklear. Berasaskan undang-undang antarabangsa, penggunaan tenaga nuklear secara aman adalah hak setiap negara. Semua harus dapat menggunakan sumber tenaga ini untuk kegunaan pelbagai kepentingan faedahnya demi negara mereka dan rakyat, tanpa perlu bergantung kepada orang lain untuk mengerjakan hak ini. Sesetengah negara Barat, mereka sendiri memiliki senjata nuklear dan melakukan tindakan menyalahi undang-undang, mereka mahu memonopoli pengeluaran bahan bakar nuklear. Bergerak diam-diam di atas jalan untuk menyatukan monopoli kekal ke atas pengeluaran dan penjualan bahan bakar nuklear di pusat-pusat yang membawa label antarabangsa tetapi sebenarnya dalam kawalan beberapa negara Barat sahaja.

Ironi yang pahit di zaman kita ialah kerajaan Amerika, yang memiliki stok simpanan terbesar dan stok senjata nuklear dahsyat serta lain-lain senjata pemusnah besar-besaran, dan satu-satunya negara yang menjadi satu kesalahan atas penggunaannya namun hari ini mereka tidak sabar-sabar untuk membawa panji-panji menentang pengayaan nuklear. Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya telah membekalkan senjata nuklear untuk rejim Zionis perampas Palestin dan mewujudkan satu ancaman utama bagi rantau sensitif ini. Namun kumpulan penipu yang sama tidak bertolak ansur dengan penggunaan tenaga nuklear secara aman oleh negara-negara bebas, selain itu mereka menentang dengan segala kekuatan terhadap pengeluaran bahan bakar nuklear untuk radiofarmaseutikal dan lain-lain tujuan secara aman dan berperikemanusiaan. Alasan mereka ialah khuatir pengeluaran senjata nuklear. Dalam kes Republik Islam Iran, mereka sendiri tahu bahawa mereka berbohong, tetapi pembohongan tersebut dipersetujui oleh politik sama jenisnya yang benar-benar tidak ada sedikitpun jejak spiritual. Seseorang yang membuat ancaman nuklear di abad ke-21 dan tidak berasa malu, apakah dia akan berasa malu kerana menipu?

Saya menegaskan bahawa Republik Islam tidak pernah meniru jejak senjata nuklear dan ia tidak akan melepaskan haknya rakyatnya untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan yang aman. Moto kami adalah: "Tenaga Nuklear untuk semua dan senjata nuklear tidak untuk sesiapapun." Kami akan menekankan kepada setiap kedua-dua suruhan dan larangan ini, dan kita tahu bahawa memecahkan monopoli beberapa negara-negara Barat atas pengeluaran tenaga nuklear dalam rangka Perjanjian Pengeluaran Senjata merupakan kepentingan semua negara bebas, termasuk ahli-ahli NAM.

Pengalaman kejayaan Republik Islam dalam menentang tekanan pembulian dan tekanan menyeluruh oleh Amerika bersama rakan sejenayah telah memberi keyakinan yang kukuh bahawa penentangan negara yang bersatu dan tegas oleh bangsa yang bertekad dapat mengatasi semua permusuhan dan perseteruan di samping dapat membuka laluan gemilang kepada kemuncak matlamatnya. Kemajuan menyeluruh yang dibuat oleh negara kami dalam dua dekad yang lalu adalah fakta untuk semua orang melihat, sepertimana berulang kali disahkan oleh pemerhati rasmi antarabangsa. Semua ini telah berlaku ketika sekatan, tekanan ekonomi dan kempen propaganda oleh rangkaian yang bergabung dengan Amerika dan Zionisme. Sekatan, yang telah dianggap boleh melumpuhkan oleh pemberi komen yang mengarut, bukan sahaja tidak melumpuhkan atau akan melumpuhkan kami, bahkan membuatkan langkah kami lebih stabil, meninggikan keazaman kami dan mengukuhkan keyakinan kami dalam ketepatan analisa, dan melahirkan keupayaan negara kami. Kami berkali-kali menyaksikan dengan mata sendiri bantuan ilahi dalam cabaran-cabaran ini.

Tetamu yang dihormati, saya fikir perlu untuk bercakap mengenai isu yang sangat penting, yang mana berkaitan dengan rantau kita, yang telah melanjutkan dimensi lebih jauh di sebaliknya, dan yang telah mempengaruhi dasar global untuk beberapa dekad. Isu yang menyakitkan ini adalah isu Palestin. Ringkasan perkara ini adalah bahawa berdasarkan komplot Barat yang dahsyat dan di bawah arahan England pada tahun 1940-an, sebuah negara yang bebas dengan identiti sejarah yang jelas, yang dipanggil "Palestin" telah dirampas daripada orang-orangnya melalui penggunaan senjata, pembunuhan dan penipuan. Ia telah diberikan kepada sekumpulan orang yang majoritinya pendatang dari negara-negara Eropah. Ini adalah rampasan terbesar (yang pada peringkat awal telah diiringi dengan pembunuhan beramai-ramai orang tidak bersenjata di bandar-bandar dan kampung-kampung, dan mereka diusir dari rumah dan dari tanah air ke negara jiran) mereka telah meneruskan jenayah yang sama selama lebih dari enam dekad dan ini berterusan hingga ke hari ini. Ianya merupakan salah satu isu yang paling penting dalam masyarakat manusia.

Pemimpin-pemimpin politik tentera regim Zionis perampas tidak menghindari dari sebarang jenayah selama zaman ini: dari membunuh orang, memusnahkan rumah dan ladang-ladang mereka, menangkap dan menyeksa lelaki dan wanita juga anak-anak mereka sebagai cara menjatuhkan dan menghina, percubaan memusnahkan dalam rangka untuk menghadam makanan haram di dalam perut regim Zionis, menyerang kem-kem pelarian mereka di Palestin sendiri dan di negara-negara jiran yang menjadi tempat tinggal berjuta-juta pelarian. Nama-nama seperti Sabra dan Shatila, Qana dan Deir Yasin telah mengukir sejarah rantau kita dengan darah rakyat Palestin yang tertindas.

Hingga sekarang setelah 65 tahun, jenayah yang sama menconteng perjanjian rakyat Palestin yang tinggal di wilayah yang diduduki oleh serigala Zionis. Mereka melakukan jenayah baru satu per satu, dan mencipta krisis baru di rantau tersebut. Jarang hari berlalu pergi tanpa ada laporan pembunuhan, kecederaan dan penangkapan pemuda yang bangkit mempertahankan tanah air serta maruah, memprotes pemusnahan ladang dan rumah. Regim Zionis yang menjalankan kegiatan pembunuhan, penyebab konflik dan jenayah selama beberapa dekad dengan melancarkan malapetaka perang, membunuh orang yang menduduki wilayah Arab, membangunkan negara pengganas di rantau tersebut sekaligus di seluruh dunia, melabelkan rakyat Palestin sebagai "pengganas" - orang yang bangun berjuang menuntut hak mereka. Di samping itu jaringan media yang dimiliki Zionis dan kebanyakan negara-negara Barat, berserta media upahan ini mengulangi pembohongan besar dalam melanggar nilai-nilai etika dan komitmen kewartawanan. Pemimpin-pemimpin politik yang mendakwa kononnya mempertahankan hak asasi manusia telah menutup mata mereka terhadap semua jenayah-jenayah ini, dan tanpa segan silu menyokong regim penjenayah, dan terang-terangan mengiktiraf peranan penyokong mereka.

Pendirian kami adalah Palestin itu milik rakyat Palestin, dan lanjutan pendudukan adalah satu ketidakadilan yang besar dan tidak dapat ditoleransikan, menjadi ancaman utama kepada keamanan dan keselamatan global. Semua penyelesaian yang disyorkan dengan penyertaan Barat dan sekutu mereka untuk "menyelesaikan masalah Palestin" adalah salah dan tidak berjaya, dan ia akan kekal demikian di masa depan. Kami telah ajukan penyelesaian secara adil dan demokratik sepenuhnya. Semua Palestin, (samada rakyat Palestin sekarang atau yang telah dipaksa untuk berhijrah ke negara-negara lain tetapi masih memelihara identiti Palestin, termasuklah Islam, Kristian dan Yahudi) perlu mengambil bahagian dalam referendum yang mengawasi secara teliti dan membina keyakinan, memilih sistem politik negara mereka. Semua rakyat Palestin yang telah menderita selama beberapa tahun dalam buangan perlu kembali ke negara mereka dan mengambil bahagian dalam referendum ini, kemudian membantu draf Perlembagaan dan mengadakan pilihan raya. Keamanan akan dibina setelah itu.

Sekarang saya ingin memberi secebis nasihat yang penuh kebaikan kepada ahli-ahli politik Amerika yang sentiasa berdiri untuk mempertahankan dan menyokong regim Zionis. Setakat ini, regim ini telah mewujudkan banyak masalah untuk anda. Ia telah mempersembahkan imej kebencian anda kepada penduduk serantau, dan ia telah membuat anda kelihatan seperti talibarut dalam jenayah Zionis perampas. Kos material dan moral yang ditanggung oleh kerajaan Amerika dan penduduk dalam perkiraan ini adalah mengejutkan, dan sekiranya ini berterusan, kos mungkin menjadi lebih berat pada masa depan. Fikirkanlah tentang cadangan referendum Republik Islam dan dengan keputusan yang berani, selamatkanlah diri kamu dari keadaan yang mustahil masakini. Tidak dapat dinafikan, lagi, penghuni rantau ini dan semua pemikir bebas di seluruh dunia akan mengalu-alukan langkah ini.

Tetamu kehormat, sekarang saya ingin untuk kembali ke noktah awal saya. Keadaan global yang sensitif dan dunia melalui persimpangan penting sejarah. Ia mengharapkan kelahiran suatu perintah baru. Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang merangkumi hampir dua pertiga daripada masyarakat dunia, boleh memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan itu. Penganjuran persidangan kemuncak ini di Tehran adalah dengan sendirinya menjadi suatu peristiwa penting untuk diambil perhatian. Dengan menyatukan sumber dan keupayaan kami, kami ahli-ahli pergerakan ini boleh mewujudkan peranan baru bersejarah dan berkekalan ke arah menyelamatkan dunia dari mara bahaya, perang dan hegemoni.

Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara kita secara komprohensif. Di kalangan kita terdapat beberapa negara yang sangat kaya dan menikmati pengaruh antarabangsa. Ia benar-benar tidak mustahil untuk mencari penyelesaian masalah melalui kerjasama ekonomi dan media, melalui pengalaman lalu kerjasamalah yang membantu kita memperbaiki dan melakukan kemajuan. Kita perlu mengukuhkan tekad. Kita perlu kekalkan kepercayaan terhadap matlamat kita. Kita tidak perlu takut dengan kuasa pembuli sedangkan mereka bermasam muka dengan kita. Kita juga tidak perlu gembira jika mereka senyum pada kita. Kita sepatutnya mengambil perhatian pada kehendak Tuhan dan peraturan penciptaan yang kita sokong. Kita perlu belajar teladan daripada apa yang terjadi kepada kem komunis pada dua dekad yang silam, dan teladan daripada kegagalan dasar yang digelar "Demokrasi liberal Barat" pada hari ini, tanda-tanda yang boleh dilihat oleh semua orang di jalan-jalan negara Eropah dan Amerika adalah masalah ekonomi yang tak dapat dipecahkan. Akhirnya kita hendaklah memberi perhatian peluang besar terhadap kebangkitan Islam di rantau tersebut, kejatuhan diktator Afrika Utara yang bergantung harapan dengan Amerika, dan menjadi talibarut regim Zionis. Kita dapat membantu meningkatkan mutu "produktiviti politik" Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dalam pentadbiran global. Kita boleh menyediakan dokumen bersejarah yang bertujuan membawa peluang dalam pentadbiran global ini dan menyediakan peruntukan untuk perkakasan pentadbiran. Kita boleh merancang kerjasama ekonomi yang berkesan dan menentukan paradigma hubungan budaya di kalangan kita. Tidak dinafikan, menubuhkan sebuah sekretariat yang aktif dan bermotivasi untuk organisasi ini akan menjadi bantuan yang besar dan bernilai dalam mencapai matlamat ini.